DAKWAH biasanya bererti mengajak kepada Islam. Bahasa Arab dakwah bermakna secara harfiah menyeru atau mengajak, dijadikan(participle) aktif suatu kata kerja dengan pelbagai makna seperti memanggil, menjemput.
Seorang Muslim yang menjalankan tugas dakwah, sama ada dia seorang
ahli agama atau dalam suatu usaha masyarakat sukarelawan, digelar
sebagai da’i, jamaknya adalah du’at.Seorang da’i menjemput orang untuk memahami Islam melalui proses dialog, dan dapat dikategorikan dalam sesetengah kes sebagai muballigh (penyampai ajaran agama Islam).
Dalam konteks dakwah Islam, tujuan
dakwah adalah untuk menjemput orang, yang asal memang daripada keluarga
Islam dan juga yang bukan Islam, ia untuk menjelaskan aspek penyembahan
kepada Tuhan yang sebenar-benarnya seperti disebutkan dalam al-Quran,
dan juga untuk memberitahu mereka berkaitan Nabi Muhammad s.a.w. Dakwah
juga terdiri dari tugasan untuk menjelaskan Islam melalui tindakan,
perbincangan atau dialog.
Kaedah untuk menarik perhatian sasaran dakwah:
1. Mempermudahkan dan kelonggaran yang diberikan
Masyarakat non Muslim (bukan Islam) diberi pilihan dengan tidak ada
paksaan untuk menerima Islam. Mereka boleh menilai dengan melihat kepada
keperluan fitrah semula jadi yang ada dalam diri mereka.
Islam sentiasa membenarkan pendakwah mempermudahkan dan menarik
alternatif bagi memberi kelonggaran dalam beberapa hal kepada bukan
Islam dan saudara baru memeluk Islam.
2. Dakwah bil hal.
Setiap perilaku dan amalan harian para pendakwah dan umat Islam
hendaklah mencerminkan kesucian Islam yang menjamin kesejahteraan dan
ketenteraman sejagat.
Setiap tindakan akan
dilihat oleh masyarakat bukan Muslim untuk dinilai sebelum menerima
Islam. Tingkah laku mestilah berasaskan nilai tauhid, mengikut syariat
Islam serta berbentuk ajakan kepada kesempurnaan Islam.
3. Dakwah melalui pendidikan.
Pendidikan Islam sendiri merupakan proses mendidik akal, jasmani, dan
rohani manusia berasaskan nilai-nilai fitrah insaniah. Proses pendidkan
Islam ini akan membina akhlak dan membawa kepada kehidupan yang
sempurna.
Dakwah secara ini perlu merujuk kepada
cara dakwah Rasulullah s.a.w. semasa di peringkat awal Islam yang lebih
memberi penekanan kepada psikologi, rohani dan perasaan dengan
menganjurkan kelas-kelas fardu ain, ceramah, forum dan apa yang dilihat
bersesuai dengan tuntutan semasa.
4. Dakwah
melalui pergaulan Islam telah menggesa kepada umat Islam umumnya dan
para pendakwah khususnya supaya mewujudkan suasana pergaulan yang baik
dan menunjukkan jalan yang lurus kepada masyarakat yang belum Islam atau
bukan Muslim. Para pendakwah harus mengenali latar belakang masyarakat
yang hendak diseru itu terlebih dahulu supaya dapat melicinkan pergaulan
dan proses bermuamalah dengan mereka.
5. Dakwah melalui ziarah.
Ziarah merupakan satu usaha mendampingkan diri dengan bukan Muslim yang
digalakkan oleh Islam terutama di waktuwaktu yang diperlukan seperti
apabila mereka sakit, bermasalah, mahukan pertolongan dan seumpamanya.
Ziarah boleh melapangkan dada mereka dan memberi ketenangan.
Tribulasi yang dihadapi oleh tenaga pengajar
Apabila dilihat dari aspek dakwah dari sudut teori dan praktikalnya, ia
memperlihatkan bahawa dakwah atau seruan kepada menerima Islam sebagai
agama yang universal memang kelihatan indah jika ia mendapat sokongan
padu di kalangan mereka yang menerajui sesebuah pertubuhan yang
mengendalikan tugas dakwah melalui pendidikan atau pembelajaran.
Kesedaran bukan Muslim kepada Islam boleh dikatakan positif dan
mendapat sambutan yang menggalakkan sejak kebelakangan ini. Mereka yang
datang pada peringkat awal dalam pengajian sebagai pemerhati, tetapi
apabila telah mendengar dengan baik penjelasan mengenai ketuhanan Allah
Yang Maha Hebat, mereka tidak ragu-ragu, bukan sekadar mereka menerima
dan mahu berubah, malah menceritakan pula apa yang didengar kepada
rakan-rakan mereka yang masih lagi berada dalam kepompong agama asal
mereka.
Penerimaan mereka kepada Islam bertambah
baik dari semasa ke semasa, inilah pengalaman yang penulis lalui bersama
rakan-rakan tenaga pengajar di sebuah pertubuhan Islam (tidak mahu
sebut nama institusi berkenaan) yang menganjurkan kelas-kelas pengajian
agama terutama kepada saudara-saudara baru ataupun mereka yang sudah
menampakkan kecenderungan kepada Islam. Tenaga-tenaga pengajar ada yang
terdiri daripada pensyarah universiti tempatan, pendakwah bebas, yang
sedang menyediakan tesis MA dan PhD dan sebagainya.
Bagi tenaga pengajar seperti penulis yang bekerja dengan memperolehi
pendapatan tetap tidak menjadi masalah, walaupun kelas-kelas pengajian
itu dijanjikan bayaran, tetapi agak lambat dan kadang-kadang
mengecewakan.
Apa yang jelas, bagi tenaga
pengajar yang sepenuh masa mencurahkan ilmu di situ, menghadapi dilema
kerana apabila lambat menerima bayarannya, ia akan menjejas prestasi dan
kualiti penyampaiannya, kerana mereka ini tinggal di bandar yang semua
pihak sedia maklum, tidak ada yang percuma, semua perlu dibayar, mereka
pula bukan malaikat dan mempunyai anak yang ramai.
Apabila kita bandingkan keberkesanan para muballigh Kristian yang
dibantu dan dibiayai sepenuhnya tugasan mereka berbanding dengan para
pendakwah, ustaz, pendakwah dan apa pun namanya, maka jelas kelihatan
bahawa program Kristianisasi akan dapat diterima kerana kesungguhan para
muballigh yang tidak perlu memikirkan tentang bayaran, malah fokus
diberikan kepada tumpuan dakwah Kristianisasi, sementara muballigh
Muslim pula tidak mampu menjalankan tugas dengan baik, kerana pihak yang
memegang jawatan utama dalam pertubuhanpertubuhan Islam tidak memainkan
peranan yang sewajarnya, malah berbangga dengan jawatan yang disandang
dan kurang melakukan pemantauan terhadap kelas-kelas pengajian yang
dijalankan.
Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan