Jumaat, 10 Jun 2011

PENEGASAN PERANAN PAS

Setiap ahli PAS mestilah berpegang teguh dengan Islam, beriman, melaksanakan kebajikan secara berterusan, dan kita berpolitik pula mestilah mengikut panduan Al-Quran, kerana itulah perintah dalam Al-Quran yang menjadi pedoman kita semua. Kita tetapkan dalam undang-undang tubuh PAS, bahawa yang memandu kita ialah Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak para ulamak dan Qiyas yang nyata. Bagi menjamin kewibawaan PAS dengan Islam yang bersumberkan perkara tersebut, maka diwujudkan Majlis Syura Ulamak bagi mengawal perjalanan PAS, supaya sentiasa di atas landasannya dengan istiqamah.


Peranan kita ialah membawa mesej Islam secara praktikal kepada seluruh manusia, berdakwah dan berpolitik bagi menterjemahkan keadilan syariat Allah kepada seluruh alam dan manusia tanpa mengira bangsa, agama dan asal usul mereka, dengan berwawasan dunia hingga akhirat. Inilah yang dinyatakan oleh firman Allah SWT :
وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين .
Dan tidaklah kami utuskan mu melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam

Di sepanjang perjalanan beberapa dekad dan generasi, kita adalah parti yang paling berpengalaman, kita berpengalaman menjadi pembangkang hanya dengan satu kerusi, menjadi kerajaan diperingkat negeri, menyertai kerajaan pusat dan kosong tanpa kerusi, kita pernah bersendirian, pernah menyertai kerajaan campuran dan  kita juga melaksanakan tahaluf siyasi.

Tahaluf Siyasi yang diamalkan oleh PAS ini, telah menjadi sebahagian daripada Feqah Politik Islam yang wajib dipelajari oleh pimpinan PAS dan diperkenalkannya kepada masyarakat supaya mereka memahami perbezaan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, dengan kerjasama wala’ antara UMNO dalam BN, yang mengorbankan prinsip dan menghilangkan jati diri Islam daripada bangsa Melayu yang beragama Islam, seterusnya menghanyutkan Islam yang sebenar.

Kita menjadi parti yang hidup berkembang dalam semua pengalaman tersebut.  Di sepanjang masa jentera kita bergerak dan tetap istiqamah di atas landasan Islam. Kita tidak akan mengubah matlamat perjuangan kita walau apa pun gelombang, ribut dan badai yang memukul bahtera kita, dan ternyata bahtera kita masih kukuh dan selamat hingga ke hari ini.


Yakinlah, bahawa kitalah kumpulan yang memenuhi ciri umat di kalangan umat yang besar, parti atau kumpulan di kalangan umat Islam yang ramai, yang dinyatakan oleh Allah :

Dan hendaklah ada di kalangan kamu (umat Islam seluruhnya) satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang mendapat kemenangan

Inilah ciri kumpulan Islam, iaitu (1) berdakwah mengajak kepada kebajikan, (2) menyuruh kepada yang baik dan (3) mencegah kemungkaran. Kita melaksanakan semua tuntutan ini sehingga mencapai kemuncaknya menegakkan negara yang berkuasa memerintah, menurut kaedah ilmu Islam yang berkembang di sepanjang zaman, menerusi prinsip maqasid syariah dan siyasah syar’iyyah nya.

PAS memilih pendekatan demokrasi kerana bertindak secara muwajahah silmiyyah, sama ada menang menjadi kerajaan, atau pembangkang atau melahirkan bantahan secara terbuka di mana sahaja ruang yang ada. Bagi melaksanakan pendekatan ini, maka uslub yang menarik adalah penting bagi tujuan mengembalikan umat Islam khususnya masyarakat Melayu yang digulakan dengan semangat perkauman sempit dan tidak berpijak kepada dasar Islam yang sebenar.